Mula Bicara

Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Jumaat, 29 Mei 2009

Tenaga Nuklear di Malaysia...Biar Betul???



Kerajaan bersedia menggunakan tenaga nuklear menggantikan minyak sebagai alternatif jangka panjang untuk menjana kuasa elektrik jika harga bahan api itu terus melambung di pasaran dunia. Kerajaan akan mencari alternatif lain seperti tenaga solar, hidro, hidro mini, biomas dan bahan bakar yang diperbaharui daripada sampah sarap bagi menggantikan minyak.

Kerajaan Malaysia sedang membincangkan kemungkinan membina reaktor nuklear bagi tujuan penjanaan elektrik. Adakah ini perkara baik atau buruk bagi kita?

Untuk pengetahuan semua, teknologi nuklear ini bukanlah satu perkara yang asing bagi negara kita. Kerana Malaysia sudah pun mempunyai reaktor sendiri yang dikenali sebagai Reaktor Triga Puspati (RTP). RTP mula beroperasi pada tahun 1982 dibina bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan yang memfokuskan kepada perubatan, pertanian serta kajian neutron.


Janakuasa nuklear menggunakan uranium dalam bentuk isotop, dengan melakukan beberapa siri tindakbalas bagi menghasilkan haba yang banyak. Haba tersebut akan digunakan untuk memutarkan turbin bagi menghasilkan elektrik. Uranium merupakan salah satu unsur yang paling mudah dijumpai di tanah, pokok dan air. Antara negara yang menjadi pengeluar terbesar uranium ialah Kazakhstan, Australia dan Canada.

Stesen Janakuasa Nuklear Ikata, Jepun.


Dalam analisis reaktor nuklear, stesen nuklear Ikata mempunyai tiga reaktor dan apabila ketiga-tiga kipas turbin reaktor ini bekerja serentak, ia mampu menghasilkan 2, 022 MW di satu lokasi sahaja. Dapat dirumuskan bahawa jika digabungkan empangan Kenyir dan Temenggor masih tidak dapat menandingi stesen nuklear Ikata.

Jika Malaysia tetap mahu membina stesen janakuasa nuklear, harus diingat pembinaan janakuasa nuklear memerlukan kawasan pembinaan yang amat besar.

Rabu, 27 Mei 2009

Jenis-jenis Stesen Janakuasa di Malaysia

Terdapat tiga jenis stesen janakuasa di Malaysia iaitu stesen janakuasa hidro, terma dan gas. Stesen-stesen janakuasa ini didirikan di lokasi yang sesuai dengan penggerak utamanya.

  • Stesen janakuasa Hidro.
Stesen janakuasa hidro menggunakan air daripada empangan sebagai
penggerak utamanya untuk memusingkan turbin. Selain menjana tenaga elektrik untuk keperl
uan negara, penggunaan stesen janakuasa hidro juga dapat menjimatkan pencemaran alam.




  • Stesen janakuasa Terma.
Stesen janakuasa terma menggunakan bahan api seperti arang batu dan gas bagi memanaskan air dalam dandang. Dandang akan mengeluarkan stim bertekanan tinggi bagi memutarkan kipas turbin. Stim bertekanan tinggi merupakan sumber penggerak utama stesen janakuasa terma.

  • Stesen janakuasa gas.
Stesen janakuasa gas menggunakan gas bertekanan tinggi sebagai sumber penggerak utama bagi memutarkan kipas turbin. Gas bertekanan tinggi dihasilkan daripada dandang pembakaran melalui pemampatan udara. Stesen janakuasa
gas memerlukan air untuk menyejukkan dandangnya.

Jumaat, 22 Mei 2009

Punca Tenaga Elektrik


Penjanaan , Penghantaran dan Pengagihan Tenaga Elektrik.

Pembekalan tenaga elektrik kepada pengguna perlu melalui peringkat penjanaan, penghantaran dan pengagihan. Tenaga elektrik dijana di stesen janakuasa dan ditingkatkan voltannya sebelum dihantar ke pencawang masuk utama di destinasi tertentu. Sebelum tenaga elektrik diagihkan kepada pengguna, voltan akan diturunkan kepada 415V/240V di pencawang pengagihan.Jika nilai voltan ini tidak diturunkan, pengguna akan menerima voltan yang amat tinggi dan boleh menyebabkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Ianya juga menyebabkan menara pilon menjadi terlalu aktif.

Penjanaan merupakan proses pengeluaran tenaga elektrik dengan banyaknya yang terhasil daripada pemotongan fluks oleh gegelung yang terdapat pada sesebuah penjana. Lazimnya terdapat dua jenis penjanaan iaitu penjanaan arus terus dan penjanaan arus ulang-alik.

  • Penjanaan arus terus.
Arus yang mengalir dalam sesuatu litar pada satu arah sahaja dinamai arus terus. Arus terus diperoleh daripada sumber seperti sel suria, bateri dan penjanaan arus terus.

  • Penjanaan arus ulang-alik.
Arus ulang-alik ialah arus yang sentiasa berubah-ubah arah pengalirannya mengikut perubahan kutub sumber bekalan. Penjanaan arus ulang-alik merupakan sumber bekalan utama di Malaysia.

Arus ulang-alik dijana di stesen janakuasa. Di negara kita terdapat tiga jenis stesen janakuasa utama iaitu, stesen janakuasa hidro, terma dan gas. Keupayaan stesen janakuasa menjana kuasa elektrik bergantung kepada penjana dan penggerak utamanya. Voltan yang dihasilkan adalah antara 10.5kV hingga 11.0kV. Walaubagaimanapun, untuk memudahkan sistem penyelarasan, nilai tersebut ditetapkan pada kadar 11.0kV.

Tenaga mekanik diperlukan bagi memutarkan kipas turbin, supaya turbin memacu penjana arus ulang-alik. Sistem yang membekalkan tenaga mekanik ini dikenali sebagai penggerak utama. Terdapat beberapa jenis sumber penggerak utama antaranya ialah air,stim, ombak, gas dan angin. Air, gas dan angin merupakan sumber semulajadi, manakala stim pula dihasilkan melalui pemanasan air oleh bahan api seperti minyak diesel, arang batu dan gas.